Thursday, November 16, 2017

Ikea Johor Beroperasi Hari Ini


Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

IKEA, peruncit perabot terbesar dunia berpangkalan di Sweden memulakan operasi IKEA Tebrau, Johor yang juga Gedung IKEA terbesar di Asia Tenggara secara rasmi pada jam 10 pagi, hari ini.
Pengarah Peruncitan IKEA Asia Tenggara, Mike King berkata, dengan keluasan 46,713 meter persegi, gedung berkenaan menyediakan 54 bilik pameran berinspirasikan ala Sweden.
"Selepas persediaan dilakukan berbulan-bulan, kami teruja untuk membuka pintu kami dan memberikan pengalaman membeli belah IKEA unik kepada warga Malaysia.


"Dengan lebih 8,000 kemasan kediaman rekaan Sweden yang bermutu dan mampu dimiliki, gedung baru ini akan mencapai visi kami menjadikan kehidupan harian warga Johor lebih baik," katanya pada pelancaran gedung baru itu hari ini.
Katanya, pelbagai pilihan makanan yang enak disediakan di restoran, bistro dan kedai khas makanan Sweden IKEA serta Smaland.
"Turut disediakan kawasan permainan untuk kanak-kanak yang diawasi dan kami yakin IKEA Tebrau akan menjadi pilihan seisi keluarga," katanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.
Hadir sama, Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara Christian Rojkjaer; Pengurus Gedung IKEA Tebrau, Annie Chandler dan Timbalan Pengurusnya, Charles Sathis Nair.
IKEA Tebrau terletak berhampiran outlet-outlet terkemuka yang menjadi sebahagian daripada destinasi percutian dan meningkatkan lagi imej Tebrau untuk menjamu selera, membeli belah serta bersantai.
"Selain daripada penyelesaian kemasan, IKEA Tebrau juga menyediakan perkhidmatan dan tawaran tambahan bagi kemudahan pelanggan.
"Ini termasuk pengambilan dan penghantaran ke rumah, pemasangan perabot, IKEA Gift Card serta pelan pembayaran ansuran 0 peratus.
"Turut disediakan syarat pemulangan dalam tempoh masa 100 hari, WiFi percuma dan kemudahan aplikasi IKEA Store dan banyak lagi," katanya.
Bagi memastikan kelancaran pelanggan ke situ katanya, IKEA Tebrau turut dilengkapi 1,771 tempat parkir kenderaan di dalam dan luar bangunan.
Mengulas lanjut mengenai pembukaan gedung itu pada hujung minggu, pelbagai tawaran terhad dan aktiviti untuk seisi keluarga diadakan.
Sementara itu, IKEA Tebrau dibuka pada 10 pagi hingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis dan berlanjutan hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu serta cuti umum.
Sementara itu, Annie berkata, seramai 300 pekerja tempatan diberikan peluang bekerja di syarikat itu.
Sempena pembukaan rasmi itu, kira-kira 4,000 pelanggan sudah bersedia menyerbu pintu masuk IKEA Tebrau, malah ada yang datang ke situ sejak 12 tengah malam tadi.

2 comments:

Zuhaira Nasrin said...

best kan ikea. semua barang cantik! ^^

Rahayu said...

Tu laa. Bahaya sgt store ni hahahah