Wednesday, November 1, 2017

Pelaburan Besar Dexandra


SEJAK mula diperkenalkan, De’Xandra berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dan kini semakin menerima permintaan tinggi daripada penggemar wangian.

Ternyata percaturan pengasasnya, Ernayanee Nur Julaimi, 32,  dalam mengetengahkan wangian inspirasi antarabangsa, membuahkan hasil kejayaan yang besar.   


Mempertaruhkan wangian yang berkualiti, De’Xandra turut berkembang pantas atas usaha dan keberanian beliau menerusi syarikat  Oshien2u Sdn Bhd (Oshien2u) yang membuat pelaburan tinggi bagi menaikkan jenama tersebut.

Akui usahawan yang berasal dari Johor ini, itulah strategi yang berjaya meletakkan jenama De’Xandra dalam kelas yang tersendiri sehingga hari ini.

“Kami melabur untuk kos periklanan agak besar tahun ini termasuk di media elektronik dan media cetak.

“Jumlah tersebut dianggarkan melebihi RM500,000 sebulan dan ia bukan sesuatu yang sedikit sekiranya syarikat tidak betul-betul kukuh dalam menghasilkan sesuatu wangian berkualiti serta boleh bertahan lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain menggunakan periklanan di media elektronik, De’Xandra turut melakukan jaringan perniagaan dengan syarikat penerbangan terkemuka AirAsia dengan pelaburan lebih RM2 juta.

“Jaringan itu melibatkan dua kapal terbang AirAsia dengan penerbangan dua jam akan ‘dibalut’ dengan imej baru pembungkusan De’Xandra yang akan mula terlaksana pada November ini, selama 18 bulan.

“Mungkin ada yang berpandangan, iklan pada kapal terbang itu agak terbatas pada pandangan orang ramai,  namun bagi syarikat, ia strategi tersendiri untuk meningkatkan lagi nama jenama ini,” katanya.

Ernayanee berkata, dengan pelaburan dan periklanan yang berterusan itu, secara tidak langsung membantu jenama ini untuk pergi lebih jauh terutama ke pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun, bekas graduan jurusan Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, sebelum berkembang ke luar negara, syarikat perlu memastikan pengeluaran produk boleh menampung permintaan.

“Permintaan memang sudah ada dari luar negara antaranya London dan China, tetapi kami fokus dahulu di dalam negara kerana sehingga kini, permintaan sentiasa lebih tinggi daripada bekalannya.

“Oleh itu, kami sedang menguatkan kapasiti pengeluarannya dan kualitinya terlebih dahulu sebelum memulakan langkah tersebut agar dapat memenuhi setiap permintaan,” katanya.

Beli dua kilang RM9 juta

Bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan, Ernayanee berkata, syarikat turut membeli dua buah kilang yang terletak di Kajang yang melibatkan pelaburan sehingga RM9 juta. Katanya,  keputusan itu dilakukan bagi  memastikan peningkatan dalam kapasiti pengeluaran produknya.

Menurutnya, sebelum ini kilang sedia ada dengan kontrak pengilangan (OEM) dapat menghasilkan sehingga 400,000 botol wangian sahaja dalam masa sebulan iaitu anggaran 13,000 botol sehari.

“Maka dengan perkembangan syarikat sehingga ke hari ini, pembelian kedua kilang itu sangat penting bagi merealisasikan impian syarikat  untuk memenuhi permintaan di dalam dan luar negara.

“Insya-ALLAH awal tahun hadapan, kilang tersebut boleh memulakan operasi dan saya sasarkan sebulan dapat menghasilkan satu juta botol wangian. Selepas daripada itu, baru kami akan lebih berani mengatur strategi untuk pergi lebih jauh ke pasaran luar,” katanya.

Di sebalik sasaran untuk memperkukuhkan lagi jenama ke peringkat lebih tinggi, Ernayanee berkata, syarikat turut menitikberatkan kualiti produk agar ia  seiring dengan misi syarikat untuk membawa jenama tersebut ke persada antarabangsa.

Malah katanya, syarikat juga dalam usaha  untuk mendapatkan trademark  bagi setiap produk wangian  De’Xandra.

“Perkara ini penting untuk mengatasi beberapa isu yang berbangkit dalam perniagaan, terutama isu peniruan produk dan  ‘main harga’.  

“Maka dengan adanya trademark, ia bukan sahaja  melindungi perniagaan serta jenama ini, tetapi juga boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab,”  katanya.

Selain itu, Ernayanee berkata, syarikat juga akan mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap pelantikan stokis dan ejen bagi melancarkan operasi perniagaan.

“Kami mahu memastikan, hanya mereka yang benar-benar serius untuk berniaga dan menjaga jenama ini  sahaja yang akan dipilih. Sekiranya ada yang tidak capai sasaran jualan atau melakukan cara niaga ‘segera’, syarikat tidak teragak-agak untuk menamatkan kerjasama.



Credit To:

No comments: